Jenis-jenis Pendahuluan

Pendahuluan merupakan pengenalan tentang sesuatu topik atau tema yang ingin diketengahkan.
Justeru, penulis perlu kreatif dalam mempelbagaikan gaya penulisan untuk menarik perhatian pembaca.
Berikut merupakan beberapa contoh jenis pendahuluan yang boleh digunakan untuk pembaca sekalian.

1. Definisi

Remaja pada umumnya merujuk kepada kelompok manusia yang usianya 12 hingga 21 tahun. Perkataan 'remaja' berasal daripada Bahasa Latin yang turut membawa erti 'menuju ke arah kematangan'. Sementara dari sudut perkembangan manusia, remaja diklasifikasikan sebagai satu transisi daripada peringkat kanak-kanak kepada alam dewasa.

2. Gambaran

Pada hujung minggu, aku mengambil peluang untuk pergi ke kedai buku Pustaka Mukmin yang terletak di Jalan Tunku Abdul Rahman. Aku perlu membeli buku rujukan dan latihan untuk memperkukuhkan akademik aku. Dalam perjalanan, aku melihat ramai manusia berpusu-pusu keluar masuk dari kompleks beli-belah di situ. Di tangan mereka, ku lihat beberapa beg yang dijinjing. Rupa-rupanya, terdapat promosi jualan hebat sempena kedatangan hari perayaan tidak lama lagi. Berbelanja tidak ada salahnya, namun adakah perbelanjaan tersebut merupakan keperluan atau kehendak yang berlebih-lebihan?

3. Sejarah

Peristiwa hitam 13 Mei merupakan tragedi hitam negara yang melibatkan kemuncak masalah perkauman antara kaum Melayu dan kaum Cina. Kemelut senja tersebut sememangnya memberi impak yang besar terhadap seluruh pelosok tanah air. Peristiwa yang mengakibatkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda ini berkait rapat dengan 'Pilihan Raya 1969' dengan mengapi-apikan sentimen isu perkauman. Seboleh-bolehnya kita tidak mahu pisang berbuah dua kali. Pelbagai inisiatif telah diambil sebagai perisai bagi membendung api permusuhan yang tercipta.
Persoalannya, apakah yang boleh dilaksanakan agar semangat perpaduan yang telah dipupuk sekian lama tetap utuh dan kukuh terpasak?

4. Puisi

Jika hilangmu tanpa pusara,
Jika pusaramu tanpa nama,
Jika namamu tanpa bunga,
Penjajah mengatakan engkau derhaka,
Maka engkaulah pahlawan yang sebenarnya.

Bait puisi 'Pahlawan Kemerdekaan' di atas merupakan hasil karya Datuk Usman Awang yang didedikasikan untuk pejuang tanah air yang bergadai nyawa demi mempertahankan ibu pertiwi. Mat Kilau, Datuk Bahaman dan Tok Janggut antara perwira yang berjuang habis-habisan hingga ke titisan darah terakhir. Sebagai warganegara yang hidup pada zaman pascamerdek a ini, apakah yang boleh kita lakukan demi mempertahankan tanah air supaya tidak berlakunya penjajahan era baharu? Adakah kita mahukan pisang berbuah dua kali? Tepuk dada, tanya selera.

5. Pantun

Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga,
Hancur badan dikandung tanah,
Budi yang baik dikenang juga.

Pantun Melayu di atas merupakan wadah nasihat yang membicarakan soal nilai menabur budi serta berbuat kebaikan terhadap insan di sekelilingnya. Jelas terpancar bahawa norma masyarakat dan budaya mengajar kita supaya senantiasa berbuat kebaikan walaupun sebesar zarah. Hal ini memberi impak yang tersendiri kepada empunya yang menerima manfaat dan akan terus diingati biarpun insan yang menabur jasa telah tiada lagi di dunia ini.

6. Persoalan

Persoalannya, sejauh mana peri pentingnya peranan golongan para belia dalam membina pembangunan negara bangsa? Bagi mengupas jalan keluar perbincangan ini, marilah kita sama-sama telusuri akan tanggungjawab kelompok pentingnya terhadap perkembangan kemajuan negara.

7. Isu semasa / Berita

Acapkali kita membaca tentang pelbagai kemelut sosial yang melibatkan remaja di dada-dada akhbar utama negara. Seringkali kita melihat masalah kebejatan akhlak generasi muda yang tular di media sosial - Facebook, Twitter. Amat memilukan kerana golongan pelapis untuk meneraju negara terjebak dalam masalah sosial termasuklah pergaulan bebas, gangsterisme, pengambilan dadah dan lepak di kafe siber. Menyedihkan lagi memilukan.

8. Pendapat Tokoh

Seorang tokoh Islam, Saidina Ali pernah berkata, "Jika anda ingin melihat masa depan sesebuah negara, lihatlah pemuda dan pemudinya." Kata-kata beliau jelas menggambarkan tentang peri pentingnya peranan dan tanggungjawab yang dimainkan oleh golongan remaja dan belia terhadap pembentukan sebuah negara yang bertamadun. Mereka merupakan golongan pelapis yang bakal mewarisi tampuk pemerintahan negara kelak. Namun, apa yang mendukacitakan ialah generasi Y pada hari ini terjerumus ke lembah sosial yang hina. Sehubungan itu, apakah yang boleh dilakukan sebagai persediaan dan persiapan bagi
menyediakan pertahanan fizikal dan mental kelompok pewaris negara ini?

9. Peribahasa

'Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya'. Pepatah Melayu yang tercipta bukan calang-calang maknanya. Pragmatiknya begitu tersirat untuk diterjemahkan maknanya. Peribahasa ini merujuk kepada pentingnya usaha dalam mencapai sesuatu matlamat. Hal ini amat bertepatan dengan golongan belia yang harus mempersiapkan diri dengan pelbagai langkah dan usaha demi memajukan diri, masyarakat dan negara. Marilah kita bersama-sama menyingkap tanggungjawab yang digalas oleh golongan belia dalam memajukan tanah tumpah darahnya.

10. Gabungan

Lazimnya, pendahuluan yang mantap memerlukan penulis menggabungkan 3 hingga 4 jenis pendahuluan.

Apa yang penting, pelajar perlu memberi keseimbangan dari aspek pemerengganan wacana bagi meningkatkan mutu penulisan.

Berikut merupakan contoh pendahuluan gabungan : peribahasa, isu semasa (berita), persoalan

'Melentur buluh biarlah dari rebungnya'. Pepatah Melayu ini begitu mendalam dari aspek pragmatiknya yakni memberi sesuatu ajaran atau didikan perlu diusahakan sejak seseorang itu kecil lagi. Buluh tidak dapat dilenturkan melainkan apabila masih rebung lagi. Begitu juga dengan golongan kanak-kanak dan remaja. Mereka memerlukan tunjuk ajar sejak kecil untuk menjadi seorang yang bukan sahaja memiliki ilmu pengetahuan yang tinggi, bahkan membaluti diri dengan kecantikan akhlak. Apa yang begitu memilukan ialah kebejatan sosial dalam kalangan anak-anak muda acapkali kita lihat sama ada di dada-dada akhbar atau tular di media sosial. Antaranya, pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, seks bebas, rokok dan pengambilan dadah serta masalah jenayah yang menghantui masyarakat. Persoalannya, apakah peranan masyarakat bagi menangani kemelut yang membelenggu jiwa golongan pelapis ini demi kesejahteraan bersama? Marilah kita telusuri penyelesaian yang boleh dikolobrasi demi kebaikan semua pihak.

Semoga contoh penulisan pendahuluan saya yang tidak seberapa dapat memberi sedikit input berguna buat pembaca.

Selamat beramal.

Comments

Popular posts from this blog

Keruntuhan Institusi Keluarga

Peranan Belia terhadap Pembangunan Negara