Cara Menulis Isi

Terdapat pelbagai cara untuk menulis perenggan isi termasuklah cara : ~

1. Deduktif : isi utama di awal perenggan.
2. Induktif : isi utama di akhir perenggan.
3. Campuran : isi utama di awal perenggan dan ditekankan kembali di akhir perenggan.

1. Deduktif

Salah satu langkah mengurangkan pencemaran alam sekitar ialah peranan ibu bapa untuk memberi didikan dan kesedaran tentang peri pentingnya menjaga alam sekitar daripada tercemar. Ibu bapa merupakan guru pertama kepada anak-anak di rumah. Sehubungan itu, mereka perlu menunjukkan contoh tauladan yang baik kerana segala tindak tanduk mereka menjadi ikutan anak-anak. Misalnya, ibu bapa bukan sahaja perlu memberi nasihat tentang penjagaan alam sekitar, malahan mereka dilihat sebagai suri pedoman buat permata kecil mereka. Hal ini disebut sebagai kepimpinan melalui tauladan. Anak-anak hanya ibarat kain putih yang suci bersih untuk dicorakkan oleh orang tuanya. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebung.

2. Induktif

Umum mengetahui bahawa guru pertama kepada anak-anak di rumah ialah ibu bapanya sendiri. Hal ini menunjukkan bahawa peranan orang tua sangat besar dalam membentuk sikap dan jati diri anak-anak. Kata orang, anak ibarat kain putih ung dicorakkan oleh ibu bapa sememangnya tidak dapat disangkal lagi. Ibu bapa bukan sahaja mendidik anak permata mereka bagai menatang minyak yang penuh dari aspek material semata-mata, bahkan pengisian nilai-nilai mahmudah perlu diterapkan dalam jiwa sanubari anak-anak termasuklah memupuk sifat cinta akan alam sekitar. Penerapan ini bukan hanya melalui lisan semata-mata bahkan kepimpinan melalui tauladan dilihat lebih efektif kerana 'bagaimana acuan begitulah kuihnya'. Dalam kata lain, ibu bapa memainkan watak perdana dalam melahirkan generasi yang mencintai alam sekitar.

3. Gabungan

Antara cara mengatasi masalah pencemaran alam sekitar ialah peranan ibu bapa memberi kesedaran akan peri pentingnya penjagaan alam sekitar. Ibu bapa adalah pencorak anak-anak yang diibaratkan bagai kain putih. Dalam kata lain, pembentukan nilai dan jati diri anak-anak bergantung kepada didikan ibu bapa sejak kecil lagi kerana 'melentur buluh biarlah dari rebungnya'. Kesedaran dapat diterap dalam diri anak-anak bukan sahaja melalui lisan, malahan kepimpinan melalui tauladan merupakan usaha yang lebih efektif kerana tindak-tanduk ibu bapa merupakan metodologi yang begitu dekat dengan permata kecil mereka. Kata pepatah, 'bagaimana acuan begitulah kuihnya.' Sudah terang lagi bersuluh bahawa peranan ibu bapa sangat besar bagi melahirkan generasi yang memiliki kecintaan terhadap alam sekitar.

Comments

Popular posts from this blog

Keruntuhan Institusi Keluarga

Peranan Belia terhadap Pembangunan Negara

Jenis-jenis Pendahuluan